Isu Sebat di Bulan Ramadhan

Setelah agak lama isu ini berkumandang, kini baru saya punya peluang untuk mengulasnya.

Pada 20 Julai lepas, Kartika, 32, dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku salah meminum arak di sebuah hotel pada 11.40 malam 11 Julai 2008. Beliau diperintah untuk menjalani hukuman dalam tempoh tujuh hari bermula 18 Ogos 2009 (hingga 24 Ogos 2009).

Ramadhan bermula pada 22 Ogos 2009 (Sabtu). Pada pagi 24 Ogos 2009 (Isnin), barulah beberapa orang pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) datang ke rumah Kartika di Sungai Siput, Perak, untuk membawanya ke Penjara Wanita Kajang bagi menjalani hukuman sebat. Namun, mereka kembali semula 30 minit kemudian selepas dikatakan menerima arahan untuk menangguhkan hukuman. Alasan penangguhan, bagi menghormati bulan Ramadhan.

Bermula dari detik itu, pelbagai pihak mula mengeluarkan kenyataan. Pada 25 Ogos lepas, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Jabatan Penjara tidak mempunyai tukang sebat yang berkemahiran untuk melaksanakan hukuman mengikut cara dan kaedah syariah. Sehari selepas itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula berkata Kartika Sari Dewi Shukarno boleh membuat rayuan dan tidak sepatutnya reda semata-mata untuk dihukum. Ini tidak termasuk kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang menyebut hukuman maksimum yang dijatuhkan adalah satu hukuman yang boleh dikatakan keterlaluan.

Setakat itu sahaja, saya fikir banyak kekeliruan yang perlu diperjelaskan secara ilmiah.

1- Bentuk hukuman. Adakah hukuman yang dijatuhkan ke atas peminum arak itu tepat mengikut syariat Islam?

2- Status rayuan. Bolehkah hukuman ke atas peminum arak dirayu (untuk dikurang atau digugurkan hukuman)?

3- Tangguh hukuman. Bolehkah hukuman ke atas peminum arak ditangguh atas alasan menghormati Ramadhan?

Bentuk hukuman:

Mengikut hukum jenayah Islam, hukuman bagi kesalahan meminum arak ialah rotan. Namun ulama berbeza pendapat dalam menentukan bilangan sebatan yang dikenakan. Majoriti ulama berpendapat 80 kali sebatan, manakala ulama mazhab Syafi’i berpendapat 40 kali sebatan (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili, hal. 5488-5489). Tidak ada yang mengatakan 6 sebatan kecuali Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dan enakmen-enakmen lain seumpamanya di Malaysia.

Status rayuan:

Bagi mengetahui status rayuan, kita perlu melihat kedudukan jenayah meminum arak dalam hukum jenayah Islam. Hukum jenayah Islam dibahagikan kepada 3 bahagian. Hudud, Qisas dan Ta’zir. Jenayah yang berada di bawah bahagian Hudud tidak boleh dirayu sama sekali (sama ada oleh pesalah, ahli keluarga atau pemerintah). Jenayah-jenayah Qisas boleh dirayu oleh ahli keluarga mangsa jenayah sahaja. Manakala, jenayah-jenayah Ta’zir boleh dirayu oleh sesiapa sahaja termasuk pemerintah. Kesalahan meminum arak berada di bawah bahagian mana? Di bawah Jenayah Hudud (Rujuk At-Tasyri’ Al-Jina’i, Abdul Qadir Audah, jil.1, hal.70). Justeru, saranan Datuk Seri Najib Razak supaya Kartika merayu tidak diterima dalam Islam.

Tangguh hukuman:

Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan hukuman sebat ditangguhkan. Pertama, kehamilan. Wanita hamil tidak dikenakan hukuman hingga dia melahirkan anak. Kedua, sakit. Orang sakit tidak dikenakan hukuman hingga dia sembuh (Rujuk At-Tasyri’ Al-Jina’i, Abdul Qadir Audah, jil.2, hal.400-402.). Saya tidak pernah berjumpa pendapat yang menyebut bulan Ramadhan sebagai salah satu faktor penangguhan hukuman sebat kecuali di Malaysia. Keadaan lemah orang berpuasa tidak boleh disamakan (diqiaskan) dengan sakit. Jika qias ini diterima, maka semua orang yang berpuasa Ramadhan ialah orang sakit. Justeru, puasa Ramadhan tidak lagi menjadi wajib kerana orang sakit dibenarkan tidak berpuasa Ramadhan.

Bagaimana pula jika tidak ada tukang sebat? Soalan in sudah dijawab oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Kesimpulannya, tidak semua peruntukan undang-undang Mahkamah Syariah tepat mengikut syariat.

وَيَقُولُونَ هُوَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ وَمَا هُوَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ

Maksudnya: Mereka kata ia daripada Allah. Padahal ia bukan daripada Allah. (Surah Ali Imran: ayat 78)

Juga, tidak semua pemimpin yang beragama Islam tahu hukum Islam.

وَمِنْهُمْ أُمِّيُّونَ لَا يَعْلَمُونَ الْكِتَابَ إِلَّا أَمَانِيَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَظُنُّونَ

Maksudnya: Di antara mereka terdapat yang ‘buta huruf’. Apa yang mereka tahu berkenaan isi kandungan Kitab ialah perkara yang tidak benar. Apa yang mereka lakukan pula hanya berdasarkan pra sangka (bukannya ilmu). (Surah al-Baqarah: ayat 78)

Ramadhan: Apa Dah Jadi?

Makan & makanan...makin rencam, makin membazir.
Solat...sunat dikejar, fardhu terbiar.
Masjid... malam berseri, siang sepi.
Imam... yang jauh ditempah, yang dekat rebah.
Terawih... awal ramai, akhir bersepai.
Kerja... mula lambat, pulang awal.
Belanja... banyak untuk sendiri, sikit untuk diberi.
Artis... Puasa, puasa juga. Dedah, dedah apa saja.


Ramadhan... berubah atau mengubah?

Hati-hati Anjurkan Pertandingan



"PERTANDINGAN FUTSAL BERAGAM '08
Yuran : RM 60 setiap pasukan
Hadiah: Johan, Naib Johan & Ketiga sahaja
"

Sekali pandang, tiada apa masalah dengan iklan di atas. Ramai yang menganjurkan pertandingan sebegitu. Namun jika diteliti, sebenarnya terdapat unsur judi dalam pertandingan tersebut.

Judi? Kalau begitu, hukumnya HARAM?

Sebelum saya ulas hukumnya, mari kita lihat kisah di bawah.

Ahmad (A) menjual ikan keli dengan harga RM4.50 sekilogram. Jika Borhan (B) hendak membeli ikan keli dari (A), (B) akan memberi wang kepada (A) dan (A) pula akan menyerahkan ikan kepada (B). Katakan (B) hendak membeli 1kg ikan keli, jadi (B) akan memberi RM4.50 kepada (A) dan (A) akan memberi 1kg ikan keli kepada (B).

Transaksi jual beli di atas adalah jelas dan dibolehkan dalam Islam. Ini kerana (B) tahu jumlah wang yang dia perlu beri dan berat ikan yang dia akan perolehi. Begitu juga dengan (A). (A) tahu jumlah wang yang dia akan terima dan berat ikan yang dia perlu beri.

Islam agama yang menjaga kebajikan pembeli dan penjual. Justeru, sebarang transaksi yang menindas mana-mana pihak (sama ada pembeli atau penjual) adalah dilarang. Bayangkan situasi (A) dan (B) seperti berikut.

(A) menawarkan ikan keli dengan harga RM4.50 sekilogram. (B) setuju dengan harga tersebut dan mahu membeli 1kg ikan keli. Kata (A), ikan ada di dalam kolam. Jika (B) tetap mahu beli, (B) perlu tangkap ikan keli yang berada dalam kolam. Jika dapat, ikan itu hak (B). Jika tidak dapat, duit RM4.50 itu hak (A). (B) setuju.

Apa kebarangkalian yang ada?

Ada dua kebarangkalian. Pertama, (B) dapat tangkap ikan keli . Kedua, (B) tidak dapat walaupun seekor ikan keli. Jika kita ambil kebarangkalian pertama, (B) akan rugi sebab (B) tidak tahu berapa berat ikan yang dapat ditangkap. Mungkin kurang daripada 1kg. Jika kita ambil kebarangkalian kedua, (B) memang akan rugi. (B) perlu beri RM4.50 kepada (A) tetapi ikan tidak ada.



Transaksi jenis ini dinamakan Bai’ al-Gharar. Bai’ al-Gharar bermaksud transaksi jual beli yang mempunyai unsur penipuan atau kesamaran. Transaksi jenis ini dilarang dalam Islam (haram). Buktinya ialah hadis nabi yang menyebut:

نهى النبي عن بيع الغرر

Maksudnya : Nabi melarang sahabat melakukan Bai’ al-Gharar. (Hadis Sahih riwayat Muslim- hadis 2783)

Ada orang yang membeli dengan cara begitu?

Ada. Baru-baru ini saya bertemu jual beli sebegitu. Bezanya, ia tidak dipanggil jual beli tetapi disebut ‘pertandingan’. Pertandingan Menangkap Ikan Dalam Kolam. Setiap peserta yang ingin menyertai pertandingan ini perlu membayar RM1. Peserta yang telah membayar yuran diberi masa beberapa minit untuk menangkap Ikan-ikan kecil (lagi comel) yang berada dalam sebuah kolam buatan. Ikan yang dapat ditangkap menjadi milik peserta. Jika ikan tidak dapat ditangkap, yuran tidak akan dikembalikan.

Bukankah ‘pertandingan’ ini sama seperti jual beli ikan keli di atas?

Ya, bahkan lebih merugikan.

Kenapa?

Jual beli ikan keli di atas hanya merugikan pembeli sahaja tetapi ‘pertandingan’ ini kemungkinan merugikan penjual juga. Bayangkan jika peserta (atau sebut: pembeli) berjaya menangkap semua ikan kecil itu hanya dengan RM1. Siapa yang akan rugi? Sudah tentu penganjur (atau sebut: penjual).

Baik, apa kaitan pertandingan futsal dengan Bai’ al-Gharar?

Kaitannya ialah dari sudut kesamaran dan ketidakpastian. Dalam penganjuran futsal, peserta/kumpulan tidak pasti adakah mereka akan dapat hadiah hasil yuran yang dibayar. Begitu juga dalam Bai’ al-Gharar. Pembeli tidak pasti adakah mereka akan dapat barang hasil wang yang dibayar. Barangkali mereka bayar RM60 dan dapat ‘habuan’ (hadiah pertandingan/ barang yang dibeli) melebihi nilai RM60. Barangkali juga nilai ‘habuan’ kurang daripada RM60. Lebih malang kalau mereka tidak dapat apa-apa ‘habuan’.

Cuma dalam kes penganjuran futsal di atas, ia tidak boleh disamakan dengan Bai’ al-Gharar tetapi disamakan dengan Al-Qimar (judi). Kesamaran dan ketidakpastian juga wujud dalam judi.

Kenapa sama macam judi?

Sebagaimana maklum, pemain judi terdedah kepada unsur untung atau rugi (khususnya rugi). Semuanya bergantung kepada nasib.

Barangkali saudara berhujah,

“Penganjuran futsal di atas tidak bergantung kepada nasib semata-mata! Ia ada melibatkan usaha pemain untuk menang!”

Unsur judi wujud disebabkan 2 faktor. Pertama, faktor pertandingan. Kedua, faktor hadiah. Faktor pertandingan bermaksud apabila ia bergantung kepada nasib untuk menang. Faktor hadiah bermaksud apabila hadiahnya diambil dari wang penyertaan semua peserta (khususnya peserta yang kalah dan tidak mendapat apa-apa). Jika terdapat mana-mana faktor di atas, pertandingan itu dianggap judi [Rujuk keputusan Majlis Fiqh Antarabangsa (Organization of the Islamic Conference, Islamic Fiqh Academy) dalam sidangnya ke 14 pada 8 - 13 ZulQaedah 1423 H/ 11-16 Jan 2003, keputusan nombor 127 (14/1) untuk faktor kedua].

Jelas, pertandingan futsal di atas melibatkan faktor kedua. Faktor hadiah. Sekalipun pertandingan itu tidak bergantung kepada nasib semata-mata, setiap kumpulan tetap terdedah kepada kerugian.

Jika begitu, mainlah betul-betul sampai menang!

Masalahnya bukan pada cara main tetapi bentuk penganjuran. Sekalipun kita bermain bersungguh-sungguh sampai menang, kita tetap terlibat dalam pertandingan berunsur judi.



Jadi, apa alternatifnya?

1) Hadiah diperoleh oleh semua peserta/kumpulan dan nilai hadiah tersebut sama bagi setiap peserta/kumpulan.

2) Nilai hadiah asalnya sama bagi setiap peserta/kumpulan. Walau bagaimana pun, ia berubah apabila pihak ketiga (pihak sponsor yang tidak terlibat dengan permainan) menambah nilai untuk hadiah pemenang teratas -sebagai contoh-. Setiap peserta/kumpulan tetap mendapat hadiah.

3) Peserta/kumpulan tidak membayar apa-apa yuran. Hadiah disumbang sepenuhnya oleh pihak ketiga. Tidak mengapa jika ada peserta/kumpulan tidak mendapat hadiah.

4) Lain-lain alternatif yang mungkin sesuai.

A H1N1: Apa Lagi Lepas Ini?

Setakat hari ini (8 Ogos 2009), 3 lagi kes kematian akibat influenza A H1N1 (atau nama lamanya Selesema Babi) dilaporkan. Ia menjadikan keseluruhan kes kematian berjumlah 18 orang. Jika dilihat sekitar 2 bulan yang lalu (16 Jun 2009), jumlah pesakit yang disahkan positif A H1N1 ialah 18 orang dengan tiada kematian.

Dahulu media perdana melaporkan Malaysia bebas daripada wabak tersebut. Apabila wabak tersebut dikesan di dalam negara, media menyebutnya sebagai ‘kes import’ dan bukannya ‘kes tempatan’. Apabila ‘kes tempatan’ di kesan, media melaporkan bahawa kes yang dilaporkan adalah rendah. Kini, kes kematian menyamai kes jangkitan pada 16 Jun 2009.

Apabila keadaan semakin serius, badan-badan kerajaan menjadi lebih sibuk. Jika dahulu kerajaan lebih selesa sekadar dilihat sebagai penasihat –iaitu menasihati rakyat supaya tidak berkunjung ke negara wabak. Kini, Kementerian Kesihatan sebagai contoh terpaksa mengesan kontak (individu lain yang terlibat dengan pesakit yang dijangkiti), merawat pesakit yang dijangkiti, mengadakan sidang media setiap hari, mengadakan pemeriksaan di setiap lapangan terbang dan lain-lain lagi. Akan datang, kerajaan terpaksa membeli vaksin penyembuh bagi virus tersebut.

Dari satu sudut, semua ini melibatkan kos. Dari sudut yang lain, ia melibatkan nyawa. Wang rakyat terus dibelanjakan dan dalam masa yang sama nyawa rakyat semakin terancam. Setiap hari, negara menghadapi risiko sebaran penyakit dan pertambahan pesakit.

Islam selaku agama universal, memiliki jawapan bagi membendung wabak ini. Melalui salah satu sumber rujukannya, teks berikut diperoleh. Nabi Muhammad pernah menyebut (maksudnya),

Jika kamu terdengar suatu kawasan diserang wabak taun, jangan pergi ke sana. Jika kamu berada di dalam kawasan wabak, jangan keluar dari situ”.
(Hadis Sahih riwayat Bukhari –hadis 3241,5287,5288,5289,6458; Muslim –hadis 4108,4109,4112,4114,4115; dan ramai lagi)

Berdasarkan teks di atas, virus influenza A H1N1 (atau Selesema Babi) boleh disamakan dengan taun kerana kedua-duanya adalah wabak. Wabak bermaksud penyakit berjangkit yang mudah merebak. Justeru, apabila suatu wabak berlaku, Nabi Muhammad mengarahkan dua perkara dilakukan oleh setiap individu. Pertama, jangan pergi ke kawasan wabak. Kedua, jangan keluar dari situ. Bukankah arahan ini bermaksud ‘kuarantin’?

Arahan kuarantin yang Nabi maksudkan itu berbentuk arahan, bukannya nasihat. Malangnya, tindakan individu selalunya tidak mengikut arahan Nabi. Di sini perlunya campur tangan kerajaan. Dalam skop Malaysia, kerajaan perlu menghalang mana-mana individu dari negara wabak untuk masuk ke Malaysia (sekalipun rakyatnya sendiri). Kedua, kerajaan perlu menghalang rakyatnya dari pergi ke negara wabak. Semua itu melalui penguatkuasaan undang-undang.

Kenapa orang bukan Islam perlu terlibat sama? Bukankah arahan Nabi di atas khusus untuk orang Islam sahaja?

Jika sumber arahan (iaitu Nabi Muhammad) dihighlightkan, mungkin Ah Chong tidak setuju. Sebaliknya, jika bentuk arahan (iaitu perintah kuarantin) yang dihighlightkan, siapa yang tidak suka? Bukan setakat Ah Chong, barangkali Muthusamy pun setuju. Ini yang saya maksudkan Islam sebagai agama ‘universal’.

Malangnya, tindakan kerajaan juga tidak tepat mengikut kedua-dua arahan di atas. Kerajaan sekadar menasihat. ‘Menasihati’ rakyatnya dari pergi ke negara wabak, ‘menasihati’ pelajar yang diberi cuti supaya melakukan kuarantin di rumah masing-masing, dan terkini ‘menasihatkan’ orang ramai supaya tidak menghadiri perhimpunan di tempat awam. Ia sekadar nasihat.

Jadi apa penyelesaiannya?

Dalam skop individu, penyelesaiannya ialah sebagaimana yang telah disebut. Kuarantin. Bagi orang Islam, kuarantin melibatkan dosa pahala. Jika ingkar, berdosa. Jika patuh, pahala. Namun bukan semua orang Islam takut kepada dosa. Di sini perlunya penguatkuasaan undang-undang (khususnya bagi orang bukan Islam).

Jika kerajaan mahu rakyat mengikut arahan kuarantin, kerajaan terlebih dahulu perlu meng’kuarantin’kan negara sebagaimana yang penulis sebut dahulu. Sama ada mahu membatalkan sementara semua penerbangan atau sebagainya, itu terpulang kepada penggubal undang-undang negara. Barangkali perkara ini boleh dibincangkan dalam sidang tergempar Dewan Rakyat sebagaimana yang didesak oleh beberapa orang ahli Parlimen.

Kenapa 'Leftenan Islam' ?

Hasrat untuk memiliki blog sendiri semakin menebal hari demi hari. Dalam kesejukan ke tempat kerja pagi Isnin 27 Julai 2009, entah apa puncanya tiba-tiba fikiran melayang mencari alamat blog yang paling sesuai.

"Blog itu nanti ialah blog saya... Tapi siapalah saya? Mmm...Anak Abu Bakar. Anak..."

"Ya! Anak Abu Bakar!".

Ayah saya seorang pesara tentera darat. Pangkat akhir beliau sebelum bersara ialah Staf Sarjan. Saya? Saya tidak berpangkat. Cuma, terlekat panggilan 'ustaz' di bibir beberapa individu. Barangkali dek kerana latar belakang pengajian Syariah Islam saya dahulu. Tiba-tiba terdetik di hati saya,

"Jika sekarang saya bertugas sebagai mana ayah, apalah agaknya pangkat saya?"

"Mungkin Leftenan", jawab hati sendiri.

Serentak itu juga bibir melirik ke atas.

"Saya memang Leftenan."

"Leftenan dalam pasukan apa?"

"Islam!"

Kalau dulu ayah saya berjuang, sekarang saya juga berjuang. Kalau dulu ayah saya berperang, sekarang saya juga berperang. Kalau dulu ayah saya mengangkat senjata, saya juga punya senjata.

Ayah saya dulu punya dunianya yang tersendiri. Kini, saya juga punya dunia saya sendiri. Namun, saya tidak keseorangan dalam 'dunia' itu. Diluar sana, ramai lagi yang se'pangkat' dengan saya. Saya cuma salah seorang Leftenan Islam. Paling penting, esok lusa siapa pula saya?

Pangkat dalam ATM (selepas rekrut):
- prebet
- lans kopral
- koperal
- sarjan
- staf sarjan
- pegawai waran II
- pegawai waran I
- leftenan muda
- leftenan
- kapten
- mejar
- leftenan kolonel
- brigedier jeneral
- mejar jeneral
- leftenan jeneral
- jeneral
- panglima angkatan tentera

mengupas isu umat... mengkritik dan dikritik... kebenaran jadi cita...