Maulidur Rasul: Pelik Tetapi Bermakna

Saya : “Esok ulang tahun kelahiran Allahyarham atuk saya. Awak nak sambut sekali?”

Kawan : “Buat apa nak sambut birthday dia. Kan dia dah mati?”

Saya : “Betul. Tapi kan awak kenal dia?”

Kawan : “Memang kenal. Tapi ada kaitan ke dia dengan saya?”

Saya : “Ada. Dia ada jasa pada awak”

Kawan : “Jasa? Apa jasa dia pada saya”

Saya : “Dia pernah tegur awak kerana mencuri”

Memang pelik. Sambut ulang tahun kelahiran orang yang sudah mati. Jika begitu, kita pun pelik. Sambut ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad yang sudah mati.

Saya : “Esok ulang tahun kelahiran Rasulullah. Awak nak sambut sekali?”

Kawan : “Buat apa nak sambut birthday Rasulullah. Kan Rasulullah dah mati?”

Saya : “Betul. Tapi kan awak kenal Rasulullah?”

Kawan : “Memang kenal. Tapi ada kaitan ke Rasulullah dengan saya”

Saya : “Ada. Rasulullah ada jasa pada awak”

Kawan : “Jasa? Apa jasa Rasulullah pada saya”

Saya : “Rasulullah pernah tegur awak”

Adakah kita perasan teguran Rasulullah? Jika kita berhenti di sini, banyak reaksi yang boleh kita jangkakan.

1- “Oh! Ya kah? Saya tak perasan pula.”

2- “Ya lah! Ya lah

3- Oh, ya! Alhamdulillah!

Reaksi pertama ialah reaksi orang ‘tidur’. Reaksi kedua ialah reaksi orang ‘sedar’ yang marah-marah. Reaksi ketiga ialah reaksi orang ‘sedar’ yang sedar.

Kesimpulannya, sambutan Maulidur Rasul bukan perayaan yang melibatkan batang tubuh Rasulullah. Ia perayaan yang melibatkan jasa-jasa Rasulullah. Jika kita sedar & bersyukur atas jasa-jasa Rasulullah kepada batang tubuh kita, itu sudah cukup. Sekiranya kita masih lagi ‘tidur’, kehadiran kita ke majlis-majlis Maulidur Rasul hanya menambahkan ‘tidur’ yang sedia ada.

* ﴿فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا﴾. Ungkapan yang paling banyak menegur saya…

Bilangan Ayat Al-Quran

Assalamualaikum Ustaz ******,

Merujuk kepada artikel bertajuk "Lim Guan Eng Pembela Melayu Pulau Pinang", ustaz menyebut:

"...golongan Huffaz ini yang berjaya melancar dan menghafaz ayat al-Quran yang berjumlah 6666 ayat ini."

Ayat al-Quran tidak pernah mencapai bilangan 6666 ayat. 'Fakta warisan' yang salah ini tidak sepatutnya keluar dari seorang ustaz berkelulusan tinggi yang berjawatan ADUN dari parti Islam.

Saya harap ustaz luangkan sedikit masa mengira sendiri bilangan ayat al-Quran. Pastikan benar atau tidak bilangan sebenar ayat al-Quran ialah 6236 ayat.

(Hasnan Abu Bakar)

Isu Nama Allah: Takdir Mengatasi Tadbir

Pada permulaan, saya melihat sudut positif natijah hebahan isu ini. Semakin ramai orang bukan Islam mula mendengar nama tuhan yang bernama ‘Allah’.

﴿وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا﴾

“Dia (Allah) letak kalimah kufur (syirik) di tempat yang rendah. Sedangkan kalimah Allah (tauhid) tetap di tempat yang tinggi.” (Surah at-Taubah: 40)

Namun, selepas beberapa hari, saya lihat ia lebih kepada permainan politik ‘budak-budak nakal’.

﴿وَقَدْ مَكَرُوا مَكْرَهُمْ وَعِنْدَ اللَّهِ مَكْرُهُمْ وَإِنْ كَانَ مَكْرُهُمْ لِتَزُولَ مِنْهُ الْجِبَالُ

“Mereka menggerakkan tipu helah mereka, padahal mereka tidak sedar di sisi Allah terdapat balasan bagi tipu daya itu. Tipu daya itu sebenarnya lemah dan tidak berdaya mengalihkan gunung (Islam) dari tempatnya.” (Surah Ibrahim: 46)

Mereka cuba bermain api untuk membakar sentimen agama. Permainan berbahaya yang menawarkan laba yang besar. Malangnya, setiap kali api mahu menyala, ‘ada sahaja’ yang datang memadamnya.

﴿كُلَّمَا أَوْقَدُوا نَارًا لِلْحَرْبِ أَطْفَأَهَا اللَّهُ﴾

“Setiap kali mereka nyalakan api permusuhan, setiap kali itu juga Allah memadamnya” (Surah al-Maidah: 64)

Sekalipun provokasi melalui usaha membakar gereja digerakkan, penganut Islam di Malaysia mahupun penganut Kristian masing-masing tenang. Sekarang mereka berkokok sendirian. Biarkan. Biarkan mereka berkokok. Semakin kuat mereka berkokok, semakin ramai sedar palitan najis di ekor ‘ayam jantan’ itu.

‘Ayam jantan’ itu memang ‘jahat’ tetapi harus diingat. Tidak semestinya yang jahat itu tidak memberi sebarang manfaat.

إِنَّ اللَّهَ لَيُؤَيِّدُ الدِّينَ بِالرَّجُلِ الْفَاجِرِ

“Allah akan menguatkan agama ini (Islam) dengan lelaki yang jahat” (Hadis Sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

Takdir Allah mengatasi tadbir manusia.

2010 atau 1431

Congak dan jawab soalan di bawah:

A. 1 Muharam 1431 = ? Disember 2009

B. 1 Januari 2010 = ? Muharam 1431

Soalan mana saudara jawab paling cepat?

Jangkaan saya, majoriti pembaca lebih cepat menjawab soalan A. Jika benar, maksudnya saudara lebih cenderung menggunakan kalendar Masihi. Jika tidak, itu maksudnya saudara lebih cenderung menggunakan kalendar Hijri.

Saudara tidak perlu risau jika saudara lebih ingat kalendar Masihi. Ia tidak menjejaskan akidah. Ia tidak termasuk dalam hukum ‘kongsi raya’. Cuma, di antara kalendar Masihi dan kalendar Hijri, mana satu yang paling baik untuk diguna pakai?

Sebelum saya jawab soalan di atas, mari kita perhatikan ayat al-Quran berikut:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ

Maksudnya: Jumlah bilangan bulan (setahun) di sisi Allah ialah 12 bulan. Itulah ketetapan di Lauh Mahfuz ketika Allah menjadikan langit dan bumi. Dalam 12 bulan itu terdapat 4 Bulan Haram. (Surah at-Taubah: 36)

Kedua-dua kalendar (Masihi dan Hijri) masing-masing mempunyai 12 bulan. Walau bagaimana pun, apabila Allah menyebut tentang Bulan Haram (bulan diharamkan berperang), Allah mengisyaratkan secara halus kepada kalendar Hijri. Ini kerana 4 Bulan Haram itu adalah berdasarkan bulan-bulan dalam kalendar Hijri. Muharam, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah. Justeru, kalendar yang paling baik untuk diguna pakai ialah kalendar Hijri.

Apa rasionalnya kalendar Hijri sebagai kalendar terbaik? Adakah orang bukan Islam akan setuju?

Ya, mereka akan setuju. Bahkan, mungkin sangat setuju. Sebagai mana maklum, bilangan hari kalendar Hijri (setahun) adalah kurang berbanding kalendar Masihi. Kurang 11 hari atau lebih tepatnya 10 hari 21 jam dan 1 minit. Apabila menjangkau 50 tahun, bezanya ialah 1 tahun 12 hari 5.5 jam dan 3 minit.

Ia adalah berita gembira bagi para pekerja seluruh dunia (sama ada Muslim atau tidak). Masakan tidak. Gaji yang diperoleh lebih banyak jika mereka beralih kepada kalendar Hijri. Jika purata gaji sebulan RM 2000, dalam tempoh 25 tahun bekerja mereka bakal mendapat lebihan 9 bulan gaji (bersamaan RM 18000). Ini belum lagi dikira bonus tahunan dan lain-lain insentif daripada majikan.

Jelas, Islam memang universal. Sesuai dipraktikkan oleh Muslim dan bukan Muslim. Jika ini dipraktikkan, tidak mustahil produktiviti pekerja akan bertambah. Jika saudara baca sambungan ayat di atas, Allah kemudian menyebut:

ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ

Buku terjemahan al-Quran di hadapan saya menyebut ‘itulah agama yang lurus’ atau ‘that is the right religion’. Walau bagaimana pun, saya lebih suka menyebut ‘itulah agama yang progresif’ atau ‘that is the progressive religion’.

Baik, kita tinggalkan cadangan di atas kepada pihak yang kerajaan (bagi sektor awam) dan majikan (bagi sektor swasta). Sebagai permulaan peralihan kepada kalendar Hijri, mari sama-sama kita ingat tarikh penting (terutamanya hari lahir) mengikut kalendar Hijri.

Sila klik sini untuk penukaran tarikh Masihi kepada tarikh Hijri.

mengupas isu umat... mengkritik dan dikritik... kebenaran jadi cita...