Gempa Bumi Padang 2009 Kembalikan Nostalgia 2003

Di tengah-tengah keriuhan berita penghantaran pasukan perubatan dan kemanusiaan ke sana, para pelajar perubatan Malaysia di sana tiba-tiba dilapor dihantar pulang ke tanah air. Gerun dan syukur. Itulah perasaan mereka dan keluarga masing-masing. Saya faham sebab saya juga pernah mengalami situasi yang hampir serupa.

Pada 20 Mac 2003, dunia dikejutkan dengan serangan tentera Amerika Syarikat ke atas Iraq. Ketika itu saya baru lima bulan menuntut di Jordan. Jordan berjiran dengan Iraq. Jordan antara negara yang membenarkan ruang udaranya ‘diceroboh’ oleh tentera Amerika.

Bermula detik itu, bertali arus panggilan dari keluarga di Malaysia sampai ke telefon bimbit para pelajar di sana. Jumlah pelajar Malaysia di Jordan ketika itu hampir sama dengan jumlah pelajar Malaysia di Padang, Indonesia. Sekitar 200-300 orang. Bezanya, majoriti pelajar di Jordan menuntut dalam jurusan syariah berbanding jurusan perubatan di Padang.

Apabila berita-berita perang semakin hebat bertiup di Malaysia, kerajaan Malaysia menghantar pesawat TUDM jenis Hercules ke Jordan. Khusus bagi membawa balik pelajar Malaysia yang ingin pulang ke tanah air. Ya, khusus bagi pelajar yang ingin pulang sahaja. Bagi pelajar yang ingin meneruskan pengajian, kelas tetap berjalan seperti biasa (hampir sama seperti yang dilaporkan di Padang).

Saya di antara beberapa kerat pelajar yang kekal di Jordan. Sebabnya? Suasana masih aman di Jordan. Tidak sebagaimana yang digembar-gemburkan di tanah air. Walaupun kelas berjalan seperti biasa, hakikatnya suasana terasa amat luar biasa. Suasana bertukar sunyi. Biasanya ramai pelajar Malaysia beratur untuk menaiki bas ke universiti, kini tinggal seorang dua sahaja. Jika dahulu teman serumah 5 atau 6 orang, kini tinggal 1 atau 2 orang.

Bagi teman-teman yang selamat tiba di Malaysia, masing-masing gembira. Bahkan ada yang sempat ditemu ramah oleh stesen televisyen sejurus selepas mendarat (sama seperti yang pelajar Malaysia dari Padang). Bagi yang nakal, pelbagai SMS provokasi dihantar ke telefon bimbit kami di Jordan. Apa lagi jika tidak fasal masakan Malaysia dan keenakannya.

Rupanya kegembiraan mereka tidak lama. Tidak lama selepas itu, SMS gembira bertukar sedih. Sedih kerana dicemuh masyarakat sekitar.

“Buat apa balik? Sepatutnya kamu tunggu di Jordan. Jihad!”

“Siapa lagi yang hendak berjihad kalau bukan budak-budak Syariah?”

Barangkali cemuhan yang hampir sama diterima oleh palajar perubatan Malaysia yang pulang baru-baru ini. Siapa tahu…

“Buat apa balik? Sepatutnya kamu tunggu di Padang. Rawat orang sakit!”

“Siapa lagi yang hendak rawat kalau bukan budak-budak Medic?”

Apa-apa pun, takziah atas bencana yang menimpa Padang, Indonesia.

mengupas isu umat... mengkritik dan dikritik... kebenaran jadi cita...