Diskaun 20% PLUS: Promosi Kelakar Akhir Ramadhan

Sedang asyik membaca berita semasa, tiba-tiba mata saya tertarik melihat tajuk “Plus Tawar 20 Peratus Diskaun Tol”. Kesimpulannya, diskaun itu terhad kepada pengguna kenderaan kelas 1 di Lebuhraya Utara-Selatan dan ELITE. Tempoh promosi antara pukul 12 tengah malam dan 7 pagi pada 16, 17, 18, 22, 24 dan 25 September. Ia bertujuan menghargai pengguna lebuh raya seperti yang disaran Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Apabila kita menyebut soal diskaun atau promosi, suasana yang terbayang ialah kehadiran ramai orang sepanjang tempoh promosi. Tujuan diadakan promosi tidak lain tidak bukan semestinya untuk menambah keuntungan syarikat. Berbeza dengan promosi PLUS, suasana dan tujuannya tidak begitu.

Sebagaimana maklum, cuti Aidilfitri bagi kebanyakan pekerja bermula 18 Sept 2009 (Jumaat) hingga 22 Sept 2009 (Selasa). Kebanyakan mereka dijangka mula pulang ke kampung halaman pada hari Jumaat (petang), Sabtu, Ahad dan Isnin. Trafik dijangka sesak dalam tempoh ini. Malangnya, tempoh ini tidak termasuk dalam tempoh promosi PLUS di atas.

Rata-rata pekerja akan memulakan tugas pada 23 Sept 2009 (Rabu). 22 Sept 2009 (Selasa) trafik di lebuh raya dijangka sesak kerana masing-masing mahu pulang ke rumah. Walaupun 22 Sept 2009 (Selasa) termasuk dalam promosi PLUS di atas, tidak ramai pekerja yang sanggup pulang ke rumah antara jam 12 tengah malam hingga 7 pagi.

Jika ada pengguna lebuh raya yang berniat untuk pulang pada 22 Sept (petang atau malam) dan sampai di rumah awal pagi 23 Sept, lupakan sahaja. 23 Sept tidak termasuk dalam tempoh promosi.

Jadi, siapa sebenarnya pengguna yang bakal mendapat diskaun 20% diskaun tol pada 16, 17, 18, 22, 24 dan 25 September (12 tengah malam hingga 7 pagi)? Ya, ‘pengguna setia’ yang melalui lebuh raya pada waktu tersebut.

Justeru, jika saudara tahu ‘membaca’ kalendar, saudara pasti tahu ia kelakar. Tujuan promosi PLUS bukan untuk menambah keuntungan. Juga bukan untuk mengekalkan keuntungan sambil menambah khidmat sosial. Sebaliknya untuk mengurangkan sedikit keuntungan sambil beramal untuk ‘pengguna setia’ larut malam.

Jika begitu halnya, saya ada cadangan untuk PLUS. Adakan promosi berikut selepas ini. Diskaun 100% bagi pengguna lebuh raya yang berada lebih 24 jam di lebuh raya!

Hati-hati Sebut Hadis

Sempena bulan Ramadhan, ramai pendakwah menyebut hadis di masjid, televisyen, radio dan sebagainya. Masing-masing ghairah menonjolkan kelebihan Ramadhan dan ganjaran amalan di bulan ini. Namun, di sebalik keghairahan itu ramai juga yang terdedah kepada dosa berbohong terhadap Rasulullah.

Kenapa?

Kerana terdapat hadis yang disebut itu sebenarnya Hadis Maudu’. Maudu’ bermaksud ‘rekaan’. Hadis Maudu' ialah hadis yang sengaja direka dan kemudian disandarkan kepada Rasulullah. Padahal, Rasulullah tidak pernah menyebut atau melakukan perkara yang disebut itu.

Hadis Maudu' bukan sahaja tidak dapat dijadikan sandaran, malah perlu dibanteras. Ia merupakan satu bentuk penipuan yang berat. Penipuan terhadap Rasulullah, utusan Allah. Jika kita sendiri marah apabila ada orang mengatakan suatu yang kita tidak kata, inikan pula Rasulullah.

Pada hari ini, hadis ini wujud dalam bentuk yang berbeza. Terdapat segelintir individu berpendidikan agama yang tidak teliti dalam menukilkan hadis. Mereka menukilkan satu kata-kata sambil mendakwanya sebagai hadis. Malangnya, ia bukan hadis.

Matlamat tidak menghalalkan cara. Biarpun niat individu tersebut ialah supaya masyarakat meningkatkan amalan atau meninggalkan kemungkaran, ia tetap suatu perbuatan yang salah. Sungguhpun pada zahirnya ia memuliakan Rasulullah, hakikatnya ia menghina beliau.

Sebagai contoh, setiap kali tiba bulan Ramadhan, kita akan didendangkan dengan hadis berikut.

“Barangsiapa bersembahyang Terawih pada malam pertama, dia seperti bayi yang baru dilahirkan. Diampunkan semua dosa-dosanya. Barangsiapa bersembahyang Terawih pada malam kedua, diampunkan dosa kedua-dua orang tuanya….(dan seterusnya hingga malam ke tiga puluh)”.

Hadis tersebut adalah Hadis Maudu'. Ia merupakan suatu penipuan terhadap Rasulullah. Jika kita menerima hadis tersebut, kita turut melakukan penipuan terhadap Allah. Allah tidak pernah menjanjikan balasan sebegitu.

Justeru, kepastian tentang status hadis adalah penting. Sekurang-kurangnya, kita pasti bahawa hadis tersebut tidak termasuk dalam kategori Hadis Maudu'. Bagi golongan berpendidikan agama, ia menjadi suatu keutamaan. Tidak ada alasan untuk mereka menyampaikan hadis-hadis palsu dalam ceramah atau tulisan mereka. Buku-buku hadis terpampang di depan mata dan para sarjana hadis ada di mana-mana. [Suntingan dari buku “Apa Itu Ilmu Hadis”]

mengupas isu umat... mengkritik dan dikritik... kebenaran jadi cita...