"PERTANDINGAN FUTSAL BERAGAM '08
Yuran : RM 60 setiap pasukan
Hadiah: Johan, Naib Johan & Ketiga sahaja"
Sekali pandang, tiada apa masalah dengan iklan di atas. Ramai yang menganjurkan pertandingan sebegitu. Namun jika diteliti, sebenarnya terdapat unsur judi dalam pertandingan tersebut.
Judi? Kalau begitu, hukumnya HARAM?
Sebelum saya ulas hukumnya, mari kita lihat kisah di bawah.
Ahmad (A) menjual ikan keli dengan harga RM4.50 sekilogram. Jika Borhan (B) hendak membeli ikan keli dari (A), (B) akan memberi wang kepada (A) dan (A) pula akan menyerahkan ikan kepada (B). Katakan (B) hendak membeli 1kg ikan keli, jadi (B) akan memberi RM4.50 kepada (A) dan (A) akan memberi 1kg ikan keli kepada (B).
Transaksi jual beli di atas adalah jelas dan dibolehkan dalam Islam. Ini kerana (B) tahu jumlah wang yang dia perlu beri dan berat ikan yang dia akan perolehi. Begitu juga dengan (A). (A) tahu jumlah wang yang dia akan terima dan berat ikan yang dia perlu beri.
Islam agama yang menjaga kebajikan pembeli dan penjual. Justeru, sebarang transaksi yang menindas mana-mana pihak (sama ada pembeli atau penjual) adalah dilarang. Bayangkan situasi (A) dan (B) seperti berikut.
(A) menawarkan ikan keli dengan harga RM4.50 sekilogram. (B) setuju dengan harga tersebut dan mahu membeli 1kg ikan keli. Kata (A), ikan ada di dalam kolam. Jika (B) tetap mahu beli, (B) perlu tangkap ikan keli yang berada dalam kolam. Jika dapat, ikan itu hak (B). Jika tidak dapat, duit RM4.50 itu hak (A). (B) setuju.
Apa kebarangkalian yang ada?
Ada dua kebarangkalian. Pertama, (B) dapat tangkap ikan keli . Kedua, (B) tidak dapat walaupun seekor ikan keli. Jika kita ambil kebarangkalian pertama, (B) akan rugi sebab (B) tidak tahu berapa berat ikan yang dapat ditangkap. Mungkin kurang daripada 1kg. Jika kita ambil kebarangkalian kedua, (B) memang akan rugi. (B) perlu beri RM4.50 kepada (A) tetapi ikan tidak ada.
Transaksi jenis ini dinamakan Bai’ al-Gharar. Bai’ al-Gharar bermaksud transaksi jual beli yang mempunyai unsur penipuan atau kesamaran. Transaksi jenis ini dilarang dalam Islam (haram). Buktinya ialah hadis nabi yang menyebut:
نهى النبي عن بيع الغرر
Maksudnya : Nabi melarang sahabat melakukan Bai’ al-Gharar. (Hadis Sahih riwayat Muslim- hadis 2783)
Ada orang yang membeli dengan cara begitu?
Ada. Baru-baru ini saya bertemu jual beli sebegitu. Bezanya, ia tidak dipanggil jual beli tetapi disebut ‘pertandingan’. Pertandingan Menangkap Ikan Dalam Kolam. Setiap peserta yang ingin menyertai pertandingan ini perlu membayar RM1. Peserta yang telah membayar yuran diberi masa beberapa minit untuk menangkap Ikan-ikan kecil (lagi comel) yang berada dalam sebuah kolam buatan. Ikan yang dapat ditangkap menjadi milik peserta. Jika ikan tidak dapat ditangkap, yuran tidak akan dikembalikan.
Bukankah ‘pertandingan’ ini sama seperti jual beli ikan keli di atas?
Ya, bahkan lebih merugikan.
Kenapa?
Jual beli ikan keli di atas hanya merugikan pembeli sahaja tetapi ‘pertandingan’ ini kemungkinan merugikan penjual juga. Bayangkan jika peserta (atau sebut: pembeli) berjaya menangkap semua ikan kecil itu hanya dengan RM1. Siapa yang akan rugi? Sudah tentu penganjur (atau sebut: penjual).
Baik, apa kaitan pertandingan futsal dengan Bai’ al-Gharar?
Kaitannya ialah dari sudut kesamaran dan ketidakpastian. Dalam penganjuran futsal, peserta/kumpulan tidak pasti adakah mereka akan dapat hadiah hasil yuran yang dibayar. Begitu juga dalam Bai’ al-Gharar. Pembeli tidak pasti adakah mereka akan dapat barang hasil wang yang dibayar. Barangkali mereka bayar RM60 dan dapat ‘habuan’ (hadiah pertandingan/ barang yang dibeli) melebihi nilai RM60. Barangkali juga nilai ‘habuan’ kurang daripada RM60. Lebih malang kalau mereka tidak dapat apa-apa ‘habuan’.
Cuma dalam kes penganjuran futsal di atas, ia tidak boleh disamakan dengan Bai’ al-Gharar tetapi disamakan dengan Al-Qimar (judi). Kesamaran dan ketidakpastian juga wujud dalam judi.
Kenapa sama macam judi?
Sebagaimana maklum, pemain judi terdedah kepada unsur untung atau rugi (khususnya rugi). Semuanya bergantung kepada nasib.
Barangkali saudara berhujah,
“Penganjuran futsal di atas tidak bergantung kepada nasib semata-mata! Ia ada melibatkan usaha pemain untuk menang!”
Unsur judi wujud disebabkan 2 faktor. Pertama, faktor pertandingan. Kedua, faktor hadiah. Faktor pertandingan bermaksud apabila ia bergantung kepada nasib untuk menang. Faktor hadiah bermaksud apabila hadiahnya diambil dari wang penyertaan semua peserta (khususnya peserta yang kalah dan tidak mendapat apa-apa). Jika terdapat mana-mana faktor di atas, pertandingan itu dianggap judi [Rujuk keputusan Majlis Fiqh Antarabangsa (Organization of the Islamic Conference, Islamic Fiqh Academy) dalam sidangnya ke 14 pada 8 - 13 ZulQaedah 1423 H/ 11-16 Jan 2003, keputusan nombor 127 (14/1) untuk faktor kedua].
Jelas, pertandingan futsal di atas melibatkan faktor kedua. Faktor hadiah. Sekalipun pertandingan itu tidak bergantung kepada nasib semata-mata, setiap kumpulan tetap terdedah kepada kerugian.
Jika begitu, mainlah betul-betul sampai menang!
Masalahnya bukan pada cara main tetapi bentuk penganjuran. Sekalipun kita bermain bersungguh-sungguh sampai menang, kita tetap terlibat dalam pertandingan berunsur judi.
Jadi, apa alternatifnya?
1) Hadiah diperoleh oleh semua peserta/kumpulan dan nilai hadiah tersebut sama bagi setiap peserta/kumpulan.
2) Nilai hadiah asalnya sama bagi setiap peserta/kumpulan. Walau bagaimana pun, ia berubah apabila pihak ketiga (pihak sponsor yang tidak terlibat dengan permainan) menambah nilai untuk hadiah pemenang teratas -sebagai contoh-. Setiap peserta/kumpulan tetap mendapat hadiah.
3) Peserta/kumpulan tidak membayar apa-apa yuran. Hadiah disumbang sepenuhnya oleh pihak ketiga. Tidak mengapa jika ada peserta/kumpulan tidak mendapat hadiah.
4) Lain-lain alternatif yang mungkin sesuai.
Hati-hati Anjurkan Pertandingan
Posted by
Hasnan
Saturday, August 15, 2009
Labels: Muamalat Islam
8 comments:
salam ust.
kalau sebelum pertandingan, pihak penganjur cakap camni..
" yuran bayar rm50.kalau menang dapat hadiah.tak menang tak dapat pape.setuju? "
then semua peserta bersetuju.
adakah dikira berjudi jugak?
salam.cth dlm kes pinjam duit,lau pemberi pnjam duit kata,
"kalau pnjam RM100,byr balik RM110. setuju?"
then peminjam duit setuju.adakah riba dikira halal disbbkn dua2 setuju? dlm kes ni psetujuan manusia xleh ubah hukum Allah
mantop ustaz hasnan!!!
ana rse mcm bce kitab syarah 'ulum fiqh la..hehe..
siap bole buat pencerahan semula dgn soal jwb..
mantop..!!
ana ade soalan..mcmane klo dia buat pertandingan saje2 je..dh ckp xde ape2 hadiah..tp yuran dikenakan tu utk menderma kpd mangsa ribut ker,mangsa banjir ker,mangsa perang ker..bole x?
bgus soalan enta...
boleh kutip duit.sbb duit yg dkutip masa tu sbnrnya ats nama akad tabarru'(derma).bla dh mcm tu,duit yg dibyr xboleh diminta balik oleh peserta (cthnya mgkn sbb dia x jd main).tu la kesan akad tabarru'...
assalammualaikum ust,
ana ada satu soalan andai kata daripada duit yuran setiap kumpulan ,selepas tu,pihak penganjur menyediakan hadiah untuk semua pasukan tapi mengikut pemenang contoh tempat pertama rm 300 , kedua rm 200 dan ketiga 100 dan pasukan lain mendapat saguhati rm 50
macam mana ustaz?
wsalam Rahman D,
boleh kalau yuran penyertaan setiap kumpulan rm50 dan saguhati pun dpt rm50 (atau bernilai rm50).
tp bdsrkn soalan Rahman, situasi ni x mgkin berlaku. jd, tetap ada unsur judi sbb ada faktor ke-2. x ada beza; samada semua duit penyertaan peserta yg kalah pergi ke peserta yg menang atau sebahagian saja, tetap judi.
man..tu dh jd judi..
kluarkn soalan kekafiran..
maka dia adalah....hehehe
Post a Comment