Sempena bulan Ramadhan, ramai pendakwah menyebut hadis di masjid, televisyen, radio dan sebagainya. Masing-masing ghairah menonjolkan kelebihan Ramadhan dan ganjaran amalan di bulan ini. Namun, di sebalik keghairahan itu ramai juga yang terdedah kepada dosa berbohong terhadap Rasulullah.
Kenapa?
Kerana terdapat hadis yang disebut itu sebenarnya Hadis Maudu’. Maudu’ bermaksud ‘rekaan’. Hadis Maudu' ialah hadis yang sengaja direka dan kemudian disandarkan kepada Rasulullah. Padahal, Rasulullah tidak pernah menyebut atau melakukan perkara yang disebut itu.
Hadis Maudu' bukan sahaja tidak dapat dijadikan sandaran, malah perlu dibanteras. Ia merupakan satu bentuk penipuan yang berat. Penipuan terhadap Rasulullah, utusan Allah. Jika kita sendiri marah apabila ada orang mengatakan suatu yang kita tidak kata, inikan pula Rasulullah.
Pada hari ini, hadis ini wujud dalam bentuk yang berbeza. Terdapat segelintir individu berpendidikan agama yang tidak teliti dalam menukilkan hadis. Mereka menukilkan satu kata-kata sambil mendakwanya sebagai hadis. Malangnya, ia bukan hadis.
Matlamat tidak menghalalkan cara. Biarpun niat individu tersebut ialah supaya masyarakat meningkatkan amalan atau meninggalkan kemungkaran, ia tetap suatu perbuatan yang salah. Sungguhpun pada zahirnya ia memuliakan Rasulullah, hakikatnya ia menghina beliau.
Sebagai contoh, setiap kali tiba bulan Ramadhan, kita akan didendangkan dengan hadis berikut.
“Barangsiapa bersembahyang Terawih pada malam pertama, dia seperti bayi yang baru dilahirkan. Diampunkan semua dosa-dosanya. Barangsiapa bersembahyang Terawih pada malam kedua, diampunkan dosa kedua-dua orang tuanya….(dan seterusnya hingga malam ke tiga puluh)”.
Hadis tersebut adalah Hadis Maudu'. Ia merupakan suatu penipuan terhadap Rasulullah. Jika kita menerima hadis tersebut, kita turut melakukan penipuan terhadap Allah. Allah tidak pernah menjanjikan balasan sebegitu.
Justeru, kepastian tentang status hadis adalah penting. Sekurang-kurangnya, kita pasti bahawa hadis tersebut tidak termasuk dalam kategori Hadis Maudu'. Bagi golongan berpendidikan agama, ia menjadi suatu keutamaan. Tidak ada alasan untuk mereka menyampaikan hadis-hadis palsu dalam ceramah atau tulisan mereka. Buku-buku hadis terpampang di depan mata dan para sarjana hadis ada di mana-mana. [Suntingan dari buku “Apa Itu Ilmu Hadis”]





