Isu Dalaman Jemaah Islam

Maaf. Agak lama blog ini tidak terusik kerana tumpuan lebih pada pelajaran. Apabila selesai sahaja menduduki kertas terakhir minggu lalu, isu di atas terus menggamit hati saya.

Sebabnya?

Kerana ia seolah-olah ada kaitan dengan salah sebuah buku yang saya terjemahkan (tetapi tidak dapat diterbitkan kerana masalah teknikal). Sekadar mengambil kes yang berlaku kepada PAS sebagai contoh, barangkali teks berikut boleh membantu kita memahami punca masalah. Realitinya, ia berlaku kepada banyak lagi gerakan Islam.

Di antara kesannya [dosa hati] ialah gerak kerja Islam rata-rata berubah menjadi perancangan luaran yang hanya memberi kesan terhadap pandangan luaran. Tidak menyerap masuk ke dalam segenap aspek kehidupan…

“Mereka terikut-ikut gerak kerja gerakan-gerakan lain. Hanya terbatas dalam ruang lingkup perbincangan, perdebatan, perjumpaan, penajaman fikiran dan pembaharuan manhaj. Tidak lebih dari itu…

“Bukanlah maksud saya bahawa amal Islami tidak perlu kepada perancangan dan gerak kerja. Maksud saya, kejayaan setiap gerak kerja Islam sebenarnya bergantung kepada asas yang penting ini. Iaitu penyucian hati dari tarikan duniawi…

“Di antara kesannya juga, subur ketaasuban terhadap kelompok yang disertainya…

“Ketaasuban sebegini menyebabkan kepatuhan dan persaudaraannya hanya terbatas dalam kelompok yang disertainya sahaja…

“Mereka memandang pendapat kelompok selain mereka tidak layak untuk dinilai dan diteliti kerana kebenaran pada sangkaan mereka hanya lahir dari kelompok mereka sahaja. Apabila pendapat individu lain berbeza dengan mereka, ia menjadi tanda kebatilan individu itu. Jika pendapat tersebut bertepatan dengan pendapat mereka, mereka mendakwa ia berasal daripada mereka.

[Terjemahan & suntingan dari buku karangan Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti, باطن الإثم: الخطر الأكبر في حياة المسلمين (Dosa Hati: Bahaya Terbesar Dalam Hidup Muslim)]

0 comments:

Post a Comment

mengupas isu umat... mengkritik dan dikritik... kebenaran jadi cita...