Penjelasan “Larangan Bahagian Korban Dijadikan Upah”

Saudara editor,

Merujuk kepada Harakah (bil. 1492, halaman F2), suntingan tuan terhadap tulisan Dr Mohd Asri Zainal Abidin dalam blog beliau bertajuk “Larangan Bahagian Korban Dijadikan Upah”, saya rasa terpanggil untuk menjelaskan kekeliruan yang timbul daripada artikel berkenaan.

Berdasarkan artikel berkenaan, Dr Mohd Asri menyebut bahawa hukum memberi daging korban kepada penyembelih atau pelapah sebagai upah dari kerja yang mereka lakukan ialah haram. Saya setuju dengan kenyataan di atas. Walau bagaimanapun, contoh situasi tidak dinyatakan secara jelas. Justeru, adakah semua perbuatan memberi bahagian korban (daging, tulang, tanduk atau sebagainya) kepada penyembelih dan pelapah termasuk dalam hukum di atas?

Contoh situasi di bawah tergambar di fikiran saya selepas membaca artikel tersebut:

1) A akan melakukan ibadah korban dengan menyembelih seekor lembu. A pun menguar-uarkan perkara tersebut di sebuah masjid berdekatan. Tiba 10 Zulhijah, seramai 11 orang ahli qariah menawarkan diri (secara sukarela) menolong A melapah lembu tersebut (termasuk seorang penyembelih). Selesai proses melapah, A memberi sekilogram daging lembu korban kepada pelapah dan penyembelih.

2) B akan melakukan ibadah korban dengan menyembelih seekor lembu. B pun menguar-uarkan perkara tersebut di sebuah masjid berdekatan. Disebabkan kekurangan tenaga kerja, B menawarkan upah kepada setiap orang yang terlibat dengan proses menyembelih dan melapah. Kata B, “Saya akan beri 2 kilogram kepada penyembelih dan pelapah”. 11 orang bersetuju dengan tawaran tersebut. Selesai proses melapah, 11 orang yang berkenaan diberi upah sebagaimana yang dijanjikan.

Ringkasnya, larangan bahagian korban dijadikan upah hanya terhad kepada Kes (2) sahaja. Kes (1) tidak termasuk dalam larangan di atas.

Bagi memahami kenyataan saya ini, kita perlu memahami perbezaan di antara transaksi ‘Hadiah’ dan ‘Upah’ dalam Muamalat Islam. Kes (1) termasuk dalam transaksi ‘Hadiah’, manakala Kes (2) termasuk dalam transaksi ‘Upah’. Perbezaannya jelas. Transaksi berbentuk ‘Hadiah’ hanya melibatkan sebelah pihak sahaja. Manakala, transaksi berbentuk ‘Upah’ melibatkan dua belah pihak.

Dalam Kes (1), daging yang diterima 11 orang petugas tersebut adalah semata-mata belas ihsan daripada A. Jikalau A tidak memberi apa-apa kepada mereka selepas proses melapah, mereka tidak berhak (dan tidak mungkin akan) menuntut apa-apa daripada A. A tidak terikat dengan apa-apa kontrak atau perjanjian. Sebelah pihak yang saya maksudkan ialah A.

Sebaliknya dalam Kes 2, daging yang diterima 11 orang petugas tersebut adalah berdasarkan ikatan kontrak (sekalipun secara lisan) di antara pihak B dan pihak petugas. Jikalau B tidak memberi apa-apa kepada mereka selepas proses melapah, mereka berhak menuntut ganjaran yang dijanjikan oleh B. B terikat dengan kontrak bersama pihak petugas tersebut.

Berdasarkan pengamatan saya, saya dapati kes yang Dr Mohd Asri maksudkan ialah kes pertama. Beliau seolah-olah ingin menyebut bahawa petugas yang datang secara sukarela untuk menyembelih dan melapah tidak boleh diberi apa-apa bahagian daripada haiwan korban. Ia berdasarkan kenyataan beliau (selepas menukil banyak teks larangan daripada pelbagai sumber), “Mungkin akan timbul persoalan apakah para petugas sembelihan tidak memperolehi apa-apa ganjaran dari kerja yang mereka lakukan?

Jika ini yang dimaksudkan oleh beliau, ia tidak tepat. Para petugas sembelihan boleh memperoleh bahagian korban dari kerja yang mereka lakukan sekiranya empunya haiwan korban tidak menjanjikannya terlebih dahulu. Jika empunya haiwan korban ada menjanjikan bahagian korban, ini tidak dibenarkan. Empunya haiwan hanya boleh menjanjikan ganjaran dalam bentuk selain bahagian korban (wang, makanan dan pakaian sebagai contoh). Ini bertepatan dengan kata-kata Sayidina Ali: “Kami memberikan kepada penyembelih atau pelapah dari harta kami sendiri”.

[E-mel kepada Harakahdaily]


0 comments:

Post a Comment

mengupas isu umat... mengkritik dan dikritik... kebenaran jadi cita...