Saudara Pengarang,
Saya terkejut dengan laporan Harakahdaily hari ini (28 September 2009) bertajuk "Pemuda PAS anjur rumah terbuka 3 budaya". Program yang menggabungkan sambutan tiga perayaan besar iaitu Hari Raya Aidilfitri, Festival Kuih Bulan dan Deepavali itu akan dinamakan "Rumah Terbuka PAS: Citrawarna 3 Budaya". Biar apa pun namanya, fokus (khususnya dari sudut agama) ialah pada konsepnya. Setelah membaca laporan berita tersebut, apa yang tergambar di fikiran saya ialah program itu bakal berkonsepkan "Kongsi Raya".
Sebagaimana maklum, hukum Kongsi Raya ialah haram. Apabila program itu 'menggabungkan' (sebagaimana yang disebut dalam laporan) perayaan Islam bersama-sama dengan perayaan agama lain, ini bermakna Islam diletak sebaris dengan agama-agama lain. Walhal Islam ialah agama yang benar dari Tuhan yang benar, sedangkan agama-agama lain tidak.
Di sini kita perlu bezakan di antara perayaan berasaskan agama dengan perayaan berasaskan bangsa. Tidak ada masalah jika gabungan melibatkan perayaan berasaskan bangsa tetapi masalah timbul apabila gabungan melibatkan perayaan berasaskan agama. Setahu saya Hari Raya Aidilfitri, Festival Kuih Bulan dan Deepavali ialah perayaan berasaskan agama.
Sekalipun laporan menyebut program ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan di antara PAS dengan seluruh masyarakat di samping menggambarkan perpaduan pelbagai bangsa dan kaum serta agama dalam Pakatan Rakyat, kepentingan agama atau akidah Islam adalah lebih utama. PAS perlu sedar, sungguhpun umat Islam diperintah untuk melakukan 'pengasingan agama', dalam masa yang sama mereka juga dituntut untuk menonjolkan agama Islam (dakwah). Kekalkan konsep rumah terbuka yang sedia ada dengan sedikit penambahbaikan pada dakwah. Contohnya, sumbangan duit raya untuk bukan Islam yang diisi dalam sampul bercetak kata-kata pengenalan tentang Islam (dalam bahasa mereka).
Di sini letaknya keindahan kata-kata Allah dalam surah Al-Kafirun yang bermaksud:
"Untuk kamu (masyarakat bukan Islam) ada agama kamu dan untuk saya ada agama saya".
Lihat bagaimana Allah mengakhiri ayat di atas dengan kata ganti diri 'saya' iaitu seorang individu Muslim. Ayat sebegini lebih mempamerkan unsur penonjolan terhadap agama Islam (dakwah) berbanding ayat yang meletakan 'saya' dan 'agama saya' di awal frasa. Bandingkan dua dialog di bawah:
"Untuk kamu.... kamu ikut agama kamulah. Untuk saya pula... saya ikut agama saya."
"Untuk saya... saya ikut agama saya. Untuk kamu.... kamu ikut agama kamulah."
Secara mudahnya, saudara akan dapati dialog pertama lebih mempamerkan unsur dakwah berbanding dialog kedua. Seolah-olah selepas kita menyebut "Untuk kamu.... kamu ikut agama kamulah. Untuk saya pula... saya ikut agama saya", lebih mudah untuk menyebut "Mari saya tunjukkan bagaimana agama saya..."
[E-Mel kepada Harakahdaily.net]
0 comments:
Post a Comment