Akidah. Satu perkataan pendek yang memberi implikasi yang besar. Kerana akidah, seseorang itu diiktiraf sebagai ‘Muslim’. Kerana akidah, harta pusaka tidak boleh diwariskan kepada bukan Muslim (sekalipun anak sendiri). Kerana akidah, perkahwinan dibubarkan di antara pasangan saudara baru dengan bukan Muslim. Dalam kes yang lebih berat, kerana akidah, anak dibenarkan membunuh ayahnya sendiri dalam perang jihad.
Apabila disebut ‘akidah’, terbayang di fikiran kita kepercayaan dalam agama Islam. Masing-masing cuba mengulang rukun iman yang dihafal sekian lama. Bertitik tolak dari rukun iman yang enam itu, pelbagai topik dibahaskan. Syarat seorang itu dikira beriman, beza antara iman dan Islam, perkara yang membatalkan iman dan sebagainya. Inilah topik yang selalu dibahaskan dalam buku-buku akidah.
Jika ditanya, “Kenapa saudara percaya dengan rukun iman?”, pelbagai jawapan kedengaran.
“Sebab itu yang ustaz ustazah saya ajar”
“Sebab orang lain percaya”
“Sebab kalau tidak percaya tidak dapat masuk syurga”
Namun, itu bukan soalan yang paling penting. Soalan yang paling penting ialah “Bagaimana saudara percaya dengan rukun iman?”.
Walaupun barangkali jawapan yang diberi adalah sama, dua soalan di atas tetap berbeza. “Kenapa saudara percaya cerita Muhammad?” berbeza dengan “Bagaimana saudara boleh percaya cerita Muhammad?”. “Kenapa saudara membancuh air?” berbeza dengan “Bagaimana saudara membancuh air?”.
Justeru, topik yang penulis cuba ketengahkan ialah proses penerimaan fakta sehingga fakta itu diyakini. Mudah kata, proses eksperimen terhadap fakta sehingga fakta itu diyakini. ‘Fakta’ yang penulis maksudkan ialah ‘kepercayaan’ dalam Islam atau ‘akidah’ Islam.
“Bolehkah fakta dieksperimen?”
“Ya, boleh”.
“Bagaimana caranya?”
Caranya akan penulis terangkan dalam buku “Apa Itu Akidah?” yang bakal terbit. Harapan penulis, pembaca sedar bahawa kepercayaan dalam Islam sebenarnya berpaksi kepada asas ilmiah dan akademik. Bukan percaya membabi-buta. Kemudian, terserah kepada pembaca sama ada untuk terus beriman atau tidak.
0 comments:
Post a Comment