27 November 2009 (Jumaat), umat Islam sedunia merayakan Hari Raya Aidil Adha 1430 Hijrah. Setahu saya, tidak ada negara umat Islam yang berbeza pendapat dalam menentukan tarikh Hari Raya Aidil Adha.
Jika kita anjakkan sedikit paradigma, barangkali soalan berikut bakal ditanya.
“Jika tarikh Hari Raya Aidil Adha boleh sama, kenapa tarikh Hari Raya Aidil Fitri tidak sama (antara negara umat Islam)?”
Jawapannya mungkin boleh kita temui dalam kisah di bawah.
Kisahnya begini. Diceritakan daripada datuk saya sendiri, Ibon bin Kawi, kepada saya yang berumur 10 tahun dan juga abang-abang saya serta sepupu saya. Bahawa ketika atuk masih kecil, dalam sekitar tahun 1906, kerana beliau masih ingat surat khabar ketika itu sibuk berlaku pertembungan diantara pemikir golongan muda, pelajar dari Mesir dan ulama golongan tua. Ketika itu, atuk pergi kedai kopi untuk berjumpa dengan ayahnya, Tok Kawi, untuk menyampaikan pesan membeli barang. Ketika itu, Tok Kawi bersama rakan-rakannya sedang menikmati sarapan dan minum kopi sambil mendengar lagu keroncong yang didendangkan di radio.
Atuk cerita, ketika dia sudah menyampaikan pesan pada ayahnya, kemudian dia mengambil sarapan di kedai kopi itu. Tiba-tiba, siaran radio menyampaikan berita semasa. Atuk menggambarkan bahawa berita dahulu tak serupa dengan zaman sekarang. Baca berita pada masa-masa tertentu. Kalau dulu, kalau ada berita terbaru melalui telegram sampai, baru dibacakan berita itu melalui radio. Jadi kalau mahu berita semasa, kena berada dekat dengan radio tu selalu. Radio zaman dulu, bukannya senang nak dapat. Itu pun nasib ada orang kerja dengan Orang Putih dalam kampung tu, dapat hadiah dari tuannya (Orang Putih tu la). Pasang kabel radio pun susah gak. Siap kena ada lesen lagi.
Apa berita itu sampaikan? Atuk cerita: Berita tu menyatakan bahawa Kerajaan Turki Uthmaniyyah sudah 4 hari berpuasa di bulan Ramadhan. Khalifah Turki mendoakan semua umat Islam beribadah dan berjihad di dalam bulan Ramadhan ini.
Semua yang ada di kedai kopi itu, baik yang sedang minum kopi, mahupun yang sedang menikmati nasi lemak dan yang sewaktu dengannya, semuanya berhenti makan dan minum. Semua berlarian pulang ke rumah masing-masing untuk memaklumkan yang Ramadhan sudah masuk hari ke-4. Maka ketika itu juga semuanya berpuasa. Pada malam itu juga, tiba-tiba surau buat solat Tarawikh. Cukup 30 hari dengan ditolak 4 hari yang terlepas Ramadhan itu, mereka pun beraya.
Maka saya bertanya pada atuk:"Macamana dengan 3 hari yang sebelum tu? Atuk tak puasa la?"
Atuk jawab dengan tenang:"Ha'ah..lepas tu..kami qodho'(ganti) la bilangan hari yang kami tertinggal tu". Sehari selepas itu, berita tentang Muslimin seluruh dunia telah berpuasa 4 hari dalam bulan Ramadhan terpampang di muka Akhbar.
Kisah di atas sebenarnya saya nukil dari laman blog seorang sahabat saya. Jika saudara pembaca masih tidak dapat mencari jawapan bagi soalan saya di atas, mari kita lihat kesimpulan beliau di akhir artikel tersebut.
Maka, penyelesaiannya ialah kekuasaan Islam berpusat iaitu Khalifah Muslimin itu sendiri. Lihatlah betapa besarnya nikmat adanya pemimpin seperti ini.
0 comments:
Post a Comment