Atuk Pergi Haji Sembah Kaabah Ke?

Baru-baru ini seorang pelajar perempuan tingkatan dua bertanya kepada saya,

“Ustaz, kalau ada orang kata kita sembah Kaabah, apa kita nak jawab?”

“Dia kata kalau kita sembah Kaabah, samalah kita dengan agama lain yang sembah berhala”, sambungnya lagi.

Saya pandang muka pelajar tersebut sambil tersenyum. Senyum kerana kagum dengan kesungguhan pelajar itu mencari jawapan. Walhal, risau hati saya hanya Allah sahaja yang tahu. Risau kerana soalan perangkap seumpama itu memang banyak dibisikkan ke telinga remaja Islam oleh individu tertentu. Khususnya kepada remaja perempuan.

Saya mulakan begini,

“Cuba Jamilah bayangkan. Kalau Kaabah diruntuhkan dan batu-batannya di bawa ke Amerika Syarikat, ke mana kita akan mengadap selepas itu? Ke Mekah atau ke Amerika Syarikat?”, soal saya menguji.

“Ke Mekah”, jawabnya meneka.

“Betul. Sebab apa masih tetap ke Mekah, tidak ke Amerika Syarikat?”, soal saya lagi.

Jamilah tersenyum simpul menandakan beliau tidak tahu jawapannya.

“Kita mengadap ke Mekah kerana perintah Allah*. Bukan kerana binaan Kaabah”, jelas saya.

“Kalau berhala orang bukan Islam diubah dan diletak di belakang, ke mana mereka akan mengadap selepas itu?” soal saya lagi untuk tujuan perbandingan.

“Ke belakang”, Jamilah menjawab dengan yakin.

Jamilah tersenyum lagi, tetapi kali ini bukan kerana tidak tahu jawapan. Sebaliknya kerana faham mesej yang hendak saya sampaikan.

“Kalau Jamilah ingat, sebelum mengadap ke Kaabah, di mana kiblat orang Islam?, asak saya dengan soalan seterusnya.

“Masjidil Aqsa, Palestin”, tegas Jamilah.

“Kenapa selepas itu orang Islam boleh berubah mengadap ke Masjidil Haram di Mekah?”, soal saya sambil tersenyum.

“Sebab itu perintah Allah”, jawab Jamilah ringkas.

“Bayangkan kononnya Nabi Muhammad masih hidup. Kemudian, nabi mendakwa Allah perintahkan kita mengadap ke arah Malaysia. Ke arah mana orang akan bersolat selepas itu?”

“Ke Malaysia lah”, jawab Jamilah sambil ketawa kecil.

Sekarang musim jemaah haji pulang ke tanah air masing-masing. Cuba saudara pembaca tanyakan soalan ini kepada mereka,

“Atuk, atuk. Atuk pergi haji sembah Kaabah ke?”

* Sila lihat surah al-Baqarah, ayat 144.



0 comments:

Post a Comment

mengupas isu umat... mengkritik dan dikritik... kebenaran jadi cita...