Congak dan jawab soalan di bawah:
A. 1 Muharam 1431 = ? Disember 2009
B. 1 Januari 2010 = ? Muharam 1431
Soalan mana saudara jawab paling cepat?
Jangkaan saya, majoriti pembaca lebih cepat menjawab soalan A. Jika benar, maksudnya saudara lebih cenderung menggunakan kalendar Masihi. Jika tidak, itu maksudnya saudara lebih cenderung menggunakan kalendar Hijri.
Saudara tidak perlu risau jika saudara lebih ingat kalendar Masihi. Ia tidak menjejaskan akidah. Ia tidak termasuk dalam hukum ‘kongsi raya’. Cuma, di antara kalendar Masihi dan kalendar Hijri, mana satu yang paling baik untuk diguna pakai?
Sebelum saya jawab soalan di atas, mari kita perhatikan ayat al-Quran berikut:
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ
Maksudnya: Jumlah bilangan bulan (setahun) di sisi Allah ialah 12 bulan. Itulah ketetapan di Lauh Mahfuz ketika Allah menjadikan langit dan bumi. Dalam 12 bulan itu terdapat 4 Bulan Haram. (Surah at-Taubah: 36)
Kedua-dua kalendar (Masihi dan Hijri) masing-masing mempunyai 12 bulan. Walau bagaimana pun, apabila Allah menyebut tentang Bulan Haram (bulan diharamkan berperang), Allah mengisyaratkan secara halus kepada kalendar Hijri. Ini kerana 4 Bulan Haram itu adalah berdasarkan bulan-bulan dalam kalendar Hijri. Muharam, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah. Justeru, kalendar yang paling baik untuk diguna pakai ialah kalendar Hijri.
Apa rasionalnya kalendar Hijri sebagai kalendar terbaik? Adakah orang bukan Islam akan setuju?
Ya, mereka akan setuju. Bahkan, mungkin sangat setuju. Sebagai mana maklum, bilangan hari kalendar Hijri (setahun) adalah kurang berbanding kalendar Masihi. Kurang 11 hari atau lebih tepatnya 10 hari 21 jam dan 1 minit. Apabila menjangkau 50 tahun, bezanya ialah 1 tahun 12 hari 5.5 jam dan 3 minit.
Ia adalah berita gembira bagi para pekerja seluruh dunia (sama ada Muslim atau tidak). Masakan tidak. Gaji yang diperoleh lebih banyak jika mereka beralih kepada kalendar Hijri. Jika purata gaji sebulan RM 2000, dalam tempoh 25 tahun bekerja mereka bakal mendapat lebihan 9 bulan gaji (bersamaan RM 18000). Ini belum lagi dikira bonus tahunan dan lain-lain insentif daripada majikan.
Jelas, Islam memang universal. Sesuai dipraktikkan oleh Muslim dan bukan Muslim. Jika ini dipraktikkan, tidak mustahil produktiviti pekerja akan bertambah. Jika saudara baca sambungan ayat di atas, Allah kemudian menyebut:
ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ
Buku terjemahan al-Quran di hadapan saya menyebut ‘itulah agama yang lurus’ atau ‘that is the right religion’. Walau bagaimana pun, saya lebih suka menyebut ‘itulah agama yang progresif’ atau ‘that is the progressive religion’.
Baik, kita tinggalkan cadangan di atas kepada pihak yang kerajaan (bagi sektor awam) dan majikan (bagi sektor swasta). Sebagai permulaan peralihan kepada kalendar Hijri, mari sama-sama kita ingat tarikh penting (terutamanya hari lahir) mengikut kalendar Hijri.
Sila klik sini untuk penukaran tarikh Masihi kepada tarikh Hijri.
3 comments:
herm..stuju2!
islam itu syumul
huhu..excited tgk ayat kat surah attaubah..br lps hafal.alhamdulillah :)
Hebat! dh sampai jzk 10!
mmm...selalunya, kalau ada kenangan dgn ayt Quran, lg lama la igt i'Allah...
susa nk jaga tu ust!
Post a Comment