Isu Sebat di Bulan Ramadhan

Setelah agak lama isu ini berkumandang, kini baru saya punya peluang untuk mengulasnya.

Pada 20 Julai lepas, Kartika, 32, dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku salah meminum arak di sebuah hotel pada 11.40 malam 11 Julai 2008. Beliau diperintah untuk menjalani hukuman dalam tempoh tujuh hari bermula 18 Ogos 2009 (hingga 24 Ogos 2009).

Ramadhan bermula pada 22 Ogos 2009 (Sabtu). Pada pagi 24 Ogos 2009 (Isnin), barulah beberapa orang pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) datang ke rumah Kartika di Sungai Siput, Perak, untuk membawanya ke Penjara Wanita Kajang bagi menjalani hukuman sebat. Namun, mereka kembali semula 30 minit kemudian selepas dikatakan menerima arahan untuk menangguhkan hukuman. Alasan penangguhan, bagi menghormati bulan Ramadhan.

Bermula dari detik itu, pelbagai pihak mula mengeluarkan kenyataan. Pada 25 Ogos lepas, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Jabatan Penjara tidak mempunyai tukang sebat yang berkemahiran untuk melaksanakan hukuman mengikut cara dan kaedah syariah. Sehari selepas itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula berkata Kartika Sari Dewi Shukarno boleh membuat rayuan dan tidak sepatutnya reda semata-mata untuk dihukum. Ini tidak termasuk kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang menyebut hukuman maksimum yang dijatuhkan adalah satu hukuman yang boleh dikatakan keterlaluan.

Setakat itu sahaja, saya fikir banyak kekeliruan yang perlu diperjelaskan secara ilmiah.

1- Bentuk hukuman. Adakah hukuman yang dijatuhkan ke atas peminum arak itu tepat mengikut syariat Islam?

2- Status rayuan. Bolehkah hukuman ke atas peminum arak dirayu (untuk dikurang atau digugurkan hukuman)?

3- Tangguh hukuman. Bolehkah hukuman ke atas peminum arak ditangguh atas alasan menghormati Ramadhan?

Bentuk hukuman:

Mengikut hukum jenayah Islam, hukuman bagi kesalahan meminum arak ialah rotan. Namun ulama berbeza pendapat dalam menentukan bilangan sebatan yang dikenakan. Majoriti ulama berpendapat 80 kali sebatan, manakala ulama mazhab Syafi’i berpendapat 40 kali sebatan (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili, hal. 5488-5489). Tidak ada yang mengatakan 6 sebatan kecuali Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dan enakmen-enakmen lain seumpamanya di Malaysia.

Status rayuan:

Bagi mengetahui status rayuan, kita perlu melihat kedudukan jenayah meminum arak dalam hukum jenayah Islam. Hukum jenayah Islam dibahagikan kepada 3 bahagian. Hudud, Qisas dan Ta’zir. Jenayah yang berada di bawah bahagian Hudud tidak boleh dirayu sama sekali (sama ada oleh pesalah, ahli keluarga atau pemerintah). Jenayah-jenayah Qisas boleh dirayu oleh ahli keluarga mangsa jenayah sahaja. Manakala, jenayah-jenayah Ta’zir boleh dirayu oleh sesiapa sahaja termasuk pemerintah. Kesalahan meminum arak berada di bawah bahagian mana? Di bawah Jenayah Hudud (Rujuk At-Tasyri’ Al-Jina’i, Abdul Qadir Audah, jil.1, hal.70). Justeru, saranan Datuk Seri Najib Razak supaya Kartika merayu tidak diterima dalam Islam.

Tangguh hukuman:

Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan hukuman sebat ditangguhkan. Pertama, kehamilan. Wanita hamil tidak dikenakan hukuman hingga dia melahirkan anak. Kedua, sakit. Orang sakit tidak dikenakan hukuman hingga dia sembuh (Rujuk At-Tasyri’ Al-Jina’i, Abdul Qadir Audah, jil.2, hal.400-402.). Saya tidak pernah berjumpa pendapat yang menyebut bulan Ramadhan sebagai salah satu faktor penangguhan hukuman sebat kecuali di Malaysia. Keadaan lemah orang berpuasa tidak boleh disamakan (diqiaskan) dengan sakit. Jika qias ini diterima, maka semua orang yang berpuasa Ramadhan ialah orang sakit. Justeru, puasa Ramadhan tidak lagi menjadi wajib kerana orang sakit dibenarkan tidak berpuasa Ramadhan.

Bagaimana pula jika tidak ada tukang sebat? Soalan in sudah dijawab oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Kesimpulannya, tidak semua peruntukan undang-undang Mahkamah Syariah tepat mengikut syariat.

وَيَقُولُونَ هُوَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ وَمَا هُوَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ

Maksudnya: Mereka kata ia daripada Allah. Padahal ia bukan daripada Allah. (Surah Ali Imran: ayat 78)

Juga, tidak semua pemimpin yang beragama Islam tahu hukum Islam.

وَمِنْهُمْ أُمِّيُّونَ لَا يَعْلَمُونَ الْكِتَابَ إِلَّا أَمَانِيَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَظُنُّونَ

Maksudnya: Di antara mereka terdapat yang ‘buta huruf’. Apa yang mereka tahu berkenaan isi kandungan Kitab ialah perkara yang tidak benar. Apa yang mereka lakukan pula hanya berdasarkan pra sangka (bukannya ilmu). (Surah al-Baqarah: ayat 78)

0 comments:

Post a Comment

mengupas isu umat... mengkritik dan dikritik... kebenaran jadi cita...